4 Bahagian di Sarawak dilanda demam babi Afrika

Dr Rundi (dua dari kiri) pada sidang media di Kuching.

KUCHING, 8 Mac: Ladang ternakan babi di 4 Bahagian di negeri ini terjejas teruk akibat dilanda wabak demam babi Afrika (ASF).

Menurut Menteri Pemodenan Pertanian Dan Pembangunan Wilayah (MANRED) Dato Sri Dr Stephen Rundi, ia melibatkan Bahagian Sibu, Miri, Sarikei dan Betong.

Setakat ini katanya, beribu ekor babi telah dimusnahkan bagi membendung penularan wabak tersebut ke ladang ternakan lain.


“Usaha dipergiatkan oleh pihak kementerian bersama Jabatan Veterinar Sarawak (DVS) bagi menghalang wabak merebak ke bahagian lain.

“Beribu ekor babi telah dimusnahkan di seluruh negeri termasuk yang mati secara sendiri. Hampir semua ladang ternakan di 4 bahagian dilanda wabak dan kita perlu menghalang ia ke ladang lain,’ katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selesai Majlis Pelancaran Program Penternakan Udang Kara di sebuah hotel di sini, hari ini.

Tambah Dr Rundi, sebuah ladang ternakan babi di Pasir Putih, Simunjan kini di kawal rapi bagi mengelakan penularan wabak.

Ladang tersebut, jelas beliau, masih mengeksport daging babi ke Singapura.

Dalam pada itu katanya, kerajaan membiayai peruntukan bagi menanam semua babi yang dimusnahkan selain mendapat bantuan daripada penternak dan komuniti. — DayakDaily