380 kenderaan diperiksa, 137 saman dikeluarkan di Lundu

Operasi Bersepadu Dalaman IPD Lundu.

LUNDU, 2 Jan: Sebanyak 380 buah kenderaan diperiksa di Lundu dalam Ops Bersepadu Dalaman oleh Ibu Pejabat Polis Daerah Lundu yang dijalankan dari jam 3 petang semalam.

IPD Lundu melalui kenyataannya di Facebook mendedahkan 130 buah kenderaan yang diperiksa ialah kereta dan 250 buah lagi adalah motosikal.

Katanya juga, sebanyak 137 saman atas pelbagai kesalahan trafik dikeluarkan hasil daripada pemeriksaan yang dijalankan.

“Kesalahan yang kerap dilakukan adalah pengubahsuaian nombor pendaftaran dan ekzos kenderaan, bahkan ada yang gagal mengemukan lesen memandu serta telah tamat cukai jalan,” katanya.

Selain itu, sebanyak lapan buah motosikal turut disita untuk siasatan di bawah Seksyen 60 Akta Pengangkutan Jalan.

Operasi yang berakhir pada jam 1 pagi itu diketuai Inspektor Sofian.

Selain membuat rondaan, pasukan operasi turut mengadakan sekatan jalan raya di Kilometer 6 Jalan Stunggang.

Ketua Polis Daerah Lundu DSP Damataries Lautin turut mengucapkan terima kasih atas kerjasama orang ramai terutama yang menyalurkan maklumat sepanjang operasi dijalankan. ― DayakDaily