KUCHING, 30 Nov: Sejumlah 356 permohonan bagi program Sarawak-Malaysia Rumah Keduaku (S-MM2H) telah diluluskan sejak pelaksanaan penambahbaikan Keperluan Dan Peraturan Program S-MM2H 2022.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif Dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, ia menunjukkan peningkatan sebanyak 1,218.52 peratus berbanding tempoh yang sama pada 2021.
“Pada tahun 2022, lima permohonan teratas ialah dari Hong Kong dengan 58 pemohonan, Amerika (54), United Kingdom (49), Singapura (38) dan Jepun (32),” katanya dalam ucapan Penggulungan Kementerian di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.
Tambah Abdul Karim, menerusi penambahbaikan lanjut tersebut, pembukaan mandatori akaun Simpanan Tetap dengan mana-mana bank tempatan di Sarawak perlu dilakukan oleh semua peserta.
Katanya, jumlah yang diperlukan kekal sebagai RM150,000 untuk pemohon individu dan RM300,000 untuk pasangan.
“Selain itu, bukti dana pencen dan dana pendapatan luar pesisir diperlukan sebagai bukti keupayaan kewangan untuk menyara diri semasa tinggal di Sarawak,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau berkata semua pemegang pas S-MM2H juga memerlukan tempoh tinggal tahunan minimum di Sarawak selama 30 hari setahun sebagai salah satu syarat untuk pertimbangan lanjutan atau pembaharuan Visa
Selain itu, tambah Abdul Karim, pemohon S-MM2H juga dibenarkan bekerja atau terlibat dalam perniagaan sepanjang tempoh penyertaan program berkenaan, namun ia tertakluk kepada terma dan syarat yang ditetapkan.
“Pemohon hendaklah tergolong dalam golongan profesional serta telah mendapat kelulusan daripada kerajaan Sarawak,” katanya. — DayakDaily