341 penduduk Simunjan terima BR1M

Nancy (duduk tengah) bersama Awla (hadapan, dua kanan) merakamkan gambar kenangan bersama penerima semasa simbolik perasmian Majlis Penyerahan Baucer BR1M 2018 Daerah Simunjan.

SIMUNJAN, April 9: Seramai 341 penduduk daerah Simunjan menerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 2018 dengan jumlah peruntukan kira-kira RM266,800 di Dewan Mesra Simunjan di sini hari ini.

Majlis Penyerahan Baucer BR1M 2018 Simunjan itu telah disempurnakan oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri yang juga penyandang Ahli Parlimen Batang Sadong, Datuk Seri Nancy Shukri.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan, Awla Dris dalam ucapannya berkata, BR1M merupakan satu inisiatif yang telah dilakukan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam membantu meringankan beban hidup rakyat.


“Saya yakin BR1M sedikit sebanyak mampu meringankan beban yang ditanggung oleh rakyat dan jika dilihat dari masa ke semasa nilai BR1M ini dinaikkan dengan golongan penerima yang lebih menyeluruh dari kalangan orang bujang sehingga yang berkeluarga,” ujar beliau.

Dalam pada itu, Awla turut menyeru penduduk agar terus memberikan sokongan kepada pimpinan kerajaan BN untuk terus menerajui negara ke arah yang lebih baik.

Katanya, seperti sedia maklum, Parlimen telah pun dibubarkan bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-14 dan beliau mohon masyarakat setempat terus memberi sokongan 100 peratus kepada calon BN kelak.

“Saya juga berharap pucuk pimpinan BN mencalonkan semula Nancy Shukri sebagai calon BN di kawasan Parlimen Batang Sadong kerana beliau telah terbukti komited dan mampu mentransformasikan daerah Simunjan pada masa akan datang,” ujarnya. — DayakDaily