3,300 sertai Perarakan Gawai Dayak Peringkat Negeri Sarawak 2024

Billy (duduk tengah) pada sidang media di Komplek Dewan Undangan Sarawak.
Advertisement

KUCHING, 14 Mei: Sebanyak 110 kontinjen dengan 3,300 peserta bakal menyertai Perarakan Gawai Dayak Peringkat Negeri Sarawak 2024 yang pada 15 Jun ini di Kuching.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Billy Sujang berkata, ia melibatkan peserta daripada komuniti Iban, Bidayuh dan Orang Ulu, Kadazan Dusun daripada Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun (KDCA) Cawangan Sarawak dan agensi kerajaan dari setiap kementerian di Sarawak.

“Tetamu kehormat dijangka menyertai Perarakan Gawai Dayak tahun ini ialah Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg,” kata Billy.

Advertisement

Beliau berkata demikian pada sidang media Perarakan Gawai Dayak Peringkat Negeri Sarawak 2024 di Bilik Media Dewan Undangan Sarawak di sini, hari ini.

Tambah Billy, perarakan bermula jam 2 petang daripada Bangunan Tun Jugah dan berakhir di pentas utama di Tebingan Kuching melibatkan jarak 1.3 kilometer.

Sebelum perarakan bermula katanya, akan diadakan upacara Pisien daripada komuniti Bidayuh di Bangunan Tun Jugah sebelum ketibaan tetamu kehormat.

“Ia bagi memohon keberkatan acara tersebut yang akan dilakukan oleh Temenggong Bidayuh Bahagian Kuching Atok Derop,” ujar beliau.

Penganjur menawarkan hadiah kepada kontinjen terbaik sebanyak RM10,000 kepada pemenang tempat pertama, RM7,000 (kedua) dan RM5,000 (ketiga).

Turut serta dalam perarakan nanti Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas selaku Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Gawai Dayak 2024 dan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Dato Sri Roland Sagah Wee Inn selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Sambutan Gawai Dayak 2024. — DayakDaily

Advertisement