Pencuri menyamar sebagai pelanggan

Gambar wanita dan kanak-kanak yang disyaki mencuri di satu kedai di Kota Samarahan.

KOTA SAMARAHAN 29 Dis : Kegiatan individu menyamar sebagai pelanggan dan mencuri barangan di kedai atau pasaraya di Kota Samarahan kini semakin kerap berlaku.

Ini berikutan premis terbabit sedang dikunjungi ramai pelanggan yang membeli belah bagi sambutan Krismas, tahun baru 2019 dan sesi persekolahan yang akan bermula tidak lama lagi.

Tinjauan sekitar Kota Samarahan mendapati terdapat sebahagian kedai dan pasaraya sehingga mempamerkan gambar dari kamera litar tertutup kalangan individu yang disyaki menyamar sebagai pelanggan bagi mencuri barangan dari premis mereka baharu-baharu ini.


Gambar individu yang disyaki mencuri di satu pasaraya di Kota Samarahan.

Di satu kedai menjual pelbagai barangan rumah telah mempamerkan gambar seorang wanita dan seorang kanak-kanak lelaki yang disyaki telah mencuri barangan di premis terbabit bulan ini.

Menurut pekerja kedai itu, wanita terbabit disyaki mencuri barangan paip manakala kanak-kanak lelaki terbabit disyaki telah mencuri pensel warna.

“Kami mempamerkan gambar individu terbabit supaya mereka merasa malu dan mengaku mencuri barangan di premis kami dan perbuatan mereka telah dirakam kamera litar tertutup,”menurut pekerja itu.

Beliau berkata sebelum ini seorang remaja perempuan yang ada mencuri di premis itu telah tampil mengakui perbuatannya kerana tidak mahu gambarnya terus dipamerkan di hadapan kedai terbabit.

Katanya remaja perempuan terbabit telah dikenakan denda dengan membayar harga barangan yang dicurinya sebanyak 11 kali ganda dari harga asal.