31 kes penipuan bantuan kebajikan libatkan kerugian RM390,425

Supt Mustafa Kamal Ghani Abdullah

Oleh Dean Adam

KUCHING, Jan 21: Sebanyak 31 kes penipuan bantuan kebajikan melibatkan jumlah kerugian RM390,425 dilaporkan sepanjang 1 Januari hingga 31 Disember tahun lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Sarawak, Supt Mustafa Kamal Ghani Abdullah berkata, dalam tempoh 1 Januari hingga 20 Januari tahun ini pula melibatkan kerugian sebanyak RM23,180.


Jelasnya, sindiket tipu bantuan kebajikan itu dianggotai sekurang-kurangnya tiga orang yang menyamar sebagai kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) atau kononnya menjadi orang tengah untuk membantu mangsa mendapatkan bantuan kebajikan dari agensi kerajaan.

“Sasaran sindiket ini adalah mangsa-mangsa di kawasan luar bandar iaitu golongan orang tua, golongan berpendapatan rendah dan kaum ibu tunggal.

“Ahli sindiket juga akan berpura-pura menghampiri mangsa dan mengatakan dapat membantu mangsa untuk mendapatkan bantuan kebajikan dan kemudian mengajak mangsa menaiki kereta yang digunakan ahli-ahli sindiket kononnya mereka membawa mangsa ke pejabat JKM atau bank komersil,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Mustafa menambah, semasa berada di dalam kereta, mangsa akan diarahkan untuk menanggalkan barangan kemas dan menyerahkan wang tunai dan sebagainya kepada ahli sindiket kerana mereka mengatakan mangsa perlu kelihatan miskin atau daif untuk meyakinkan pegawai JKM.

Katanya, terdapat juga kes di mana sindiket membawa mangsa mengeluarkan wang ASB atau wang simpanan di Pejabat Pos atau bank-bank komersil terlebih dahulu kononnya untuk mengosongkan akaun bagi tujuan memudahkan wang bantuan kebajikan dimasukkan serta untuk menunjukkan mangsa tidak mempunyai wang simpanan.

“Wang yang dikeluarkan oleh mangsa itu kemudian diserahkan kepada ahli sindiket semasa di dalam kereta.

“Apabila sampai di tempat yang dituju, salah seorang ahli sindiket akan keluar dari kereta kononnya ke pejabat JKM, kemudian mangsa diarahkan untuk keluar dari kereta kononnya untuk ke pejabat yang sama.

“Apabila mangsa berjalan ke pejabat yang dikatakan JKM, ahli-ahli sindiket telah akan melarikan diri bersama barangan kemas dan wang tunai milik mangsa,” katanya. — DayakDaily