3,000 keluarga di Kapit terima bantuan bakul makanan Pemulih

Nanta menyerahkan bantuan bakul makanan Pemulih kepada salah seorang penerima.

KUCHING, 17 Julai: Seramai 3,000 keluarga di kawasan Parlimen Kapit bakal menerima bantuan bakul makanan di bawah inisiatif Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih).

MP Kapit Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata, program pengagihan ini akan dibuat dalam masa sebulan sehingga Ogos menerusi Jawatankuasa tertentu bersama Pusat Khidmat beliau.

“Antara makanan yang disumbangkan di dalam bantuan bakul makanan ini adalah makanan kering dan bahan masakan yang diharapkan dapat membantu meringankan beban penduduk yang kurang berkemampuan dan terjejas akibat penularan pandemik Covid-19.

“Inisiatif ini akan diteruskan ke beberapa kawasan yang lain bagi membantu lebih banyak rakyat yang terjejas terutamanya golongan sasar.

“Dengan tanggungjawab dan usaha komited yang dijalankan oleh Pejabat Parlimen Kapit, usaha mendekati dan membantu rakyat akan dapat dilaksanakan dengan jayanya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan di Kapit hari ini.

Nanta bertanya khabar kepada seorang penduduk pada perasmian bantuan bakul makanan Pemulih.

Tambah Nanta, yang juga Menteri Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna, bantuan bakul makanan itu membabitkan penerima dari ketiga-tiga kawasan DUN iaitu Katibas, Pelagus dan Bukit Goram.

Katanya, sejumlah RM100,000 diperuntukan untuk setiap kawasan DUN di bawah kawasan Parlimen Kapit.

“Dengan dana yang agak terhad dan tidak mencukupi untuk membantu kesemua isi rumah dalam kawasan Parlimen Kapit, bantuan ini akan difokuskan kepada golongan yang amat memerlukan dan terdesak sahaja di dalam program ini,” ujar Nanta.

Menerusi Pemulih, Kerajaan Pusat telah meluluskan sejumlah RM300,000 bagi setiap MP termasuk pembangkang untuk membantu golongan yang amat memerlukan dan terdesak dalam bentuk barang makanan asas di kawasan masing-masing. — DayakDaily