265 mangsa banjir ditempatkan di tiga pusat pemindahan di Sarawak

Seramai 141 mangsa banjir daripada 45 keluarga ditempatkan di Dewan Masyarakat Medamit, Limbang.

KUCHING, Dis 21: Seramai 265 mangsa banjir di Limbang dan Kapit ditempatkan di tiga pusat pemindahan banjir setakat pukul 12 tengah hari ini.

Kesemua mangsa daripada 66 buah keluarga itu terjejas akibat kediaman mereka dinaiki air banjir susulan hujan lebat berterusan selama beberapa hari lalu.

Keadaan mangsa banjir yang di ditempatkan di Dewan Masyarakat Medamit, Limbang.

Jurucakap Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) berkata, pusat pemindahan banjir yang dibuka ialah di Dewan Masyarakat Trusan, Dewan Masyarakat Medamit dan di SK Ng Metah.


“Berdasarkan rekod, seramai 68 mangsa daripada 14 keluarga ditempatkan sementara di Dewan Masyarakat Trusan.

“Dewan Masyarakat Medamit pula menempatkan seramai 141 mangsa daripada 45 keluarga dan di Kapit, 56 mangsa daripada tujuh keluarga dipindahkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, jurucakap sama mengingatkan agar penduduk di bahagian lain di negeri ini agar terus berjaga-jaga ekoran keadaan cuaca tidak menentu ketika ini. — DayakDaily