25 peratus kes harian Covid-19 baharu pada Julai melibatkan individu berumur 18 tahun ke bawah

A stethoscope. - DayakDaily.com file pic. // Photo: Pixabay

KUCHING, 3 Ogos: Secara purata sebanyak 25 peratus daripada kes harian baru yang dilaporkan pada bulan Julai 2021 di negeri ini melibatkan individu berumur di bawah 18 tahun.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak Dato Dr Mohamed Sapian Mohamed berkata, golongan ini belum layak menerima imunisasi Covid-19 berdasarkan polisi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (Pick).

Katanya, pada masa ini mereka amat berisiko terdedah kepada jangkitan serta komplikasi penyakit Covid-19.


“Malah, kadar liputan imunisasi yang tinggi amat diperlukan bagi melindungi golongan yang tidak layak untuk imunisasi Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Dr Mohamed Sapian memaklumkan bahawa sebanyak 228,084 sampel telah diambil bagi ujian Covid-19 di Sarawak, menjadikan kadar positif kes Covid-19 pada bulan Julai 2021 adalah 5.21 peratus.

Menurut beliau, kadar positif ini merupakan penurunan berbanding 5.97 peratus pada bulan Jun 2021.

“Walaupun kadar positif adalah menurun namun bilangan kes yang tinggi masih dikesan terutamanya di Bahagian Kuching, Samarahan dan Serian.

“Ianya merupakan susulan daripada aktiviti pengesanan kes secara aktif melalui saringan kontak kepada kes positif dan saringan bersasar di lokaliti Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

“Ini menunjukkan masih terdapat transmisi jangkitan di kalangan komuniti, maka, aktiviti pencegahan, kawalan dan saringan akan terus dipergiatkan,” ujar Dr Mohamed Sapian.

Sehingga 2 Ogos 2021, tambah beliau, Sarawak telah mencapai liputan imunisasi Covid-19 yang tinggi di kalangan semua populasi dewasa yang layak iaitu sebanyak 87.3 peratus bagi dos pertama dan 69.2 peratus bagi dos kedua.

Sehubungan itu, Dr Mohamed Sapian menyeru orang ramai yang masih belum menerima dos pertama vaksin atau belum menerima janji temu imunisasi Covid-19 agar segera menghubungi Pejabat Residen, Daerah atau Pusat Pemberian Vaksin atau Klinik Kesihatan berhampiran untuk mendapatkan tarikh janji temu imunisasi. — DayakDaily