KUCHING, Jan 26: Seramai 25 pelajar yang dikategorikan sebagai kanak-kanak genius Sarawak telah diterima melanjutkan pelajaran mereka di Pusat PERMATApintar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Selangor.
Kesemua mereka yang ditaja di bawah Biasiswa Program Pertukaran Pelajar Yayasan Sarawak berasa teruja untuk meneruskan persekolahan di pusat berkenaan.
Perasaan teruja itu dikongsikan oleh para pelajar berkenaan semasa sesi perjumpaan dan ramah mesra bersama Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Transformasi Prestasi dan Penyampaian Perkhidmatan) merangkap Ahli Lembaga Amanah Yayasan Sarawak, Datuk Dr Sabariah Putit dan Pengarah Yayasan Sarawak, Azmi Bujang di Pusat PERMATApintar Negara UKM, semalam.
Seorang pelajar, Awangku Mohammad Daniel Abdullah, 12 , berkata, dia berasa teruja untuk belajar di pusat tersebut walaupun ada sedikit perasaan gementar kerana persekitaran yang baharu.
“Bagaimanapun, saya akan cuba yang terbaik untuk mencapai kecemerlangan dalam pembelajaran.” ujar pelajar berasal dari Bintulu itu.
Bagi Grace Chai Yu Xuan, 17, dari Kuching pula, dia berasa bertuah kerana berpeluang belajar di pusat tersebut kerana bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan serta Matematik (STEM) merupakan topik dan subjek kegemarannya.
Menurutnya, melalui Pusat PERMATApintar Negara, dia boleh meneroka lebih banyak peluang dan uji kaji yang dijalankan.
Richelle Joyce Raymong, 12, dari Miri pula berkata, selain daripada program yang dijalankan, dia mempunyai ramai rakan sekampus yang boleh diajak berbincang mengenai topik sains yang kompleks dan bersama-sama menjalani uji kaji yang dibuat dalam kelas.
Terdahulu, rombongan pegawai Yayasan Sarawak disambut oleh Pengarah Pusat PERMATApintar UKM, Prof Datuk Dr Noriah Mohd Ishak bersama timbalannya, ProfMadya Dr Rorlinda Yusof.
Satu sesi penerangan mengenai Pusat PERMATApintar Negara telah dibuat oleh Dr Noriah kepada ahli rombongan dari Yayasan Sarawak bertujuan memberikan pemahaman penuh mengenai misi, fungsi dan juga aktiviti yang dijalankan di pusat itu bagi membimbing serta mengajar kanak-kanak genius dari seluruh negara ini. — DayakDaily