248 kontak rapat kes positif Covid-19 dari Rh Alias Bon dipindah ke hotel di Miri

Operasi pemindahan penduduk Rh Alias Bon ke hotel di Miri.

KUCHING, 4 Mei: Seramai 248 penduduk Rumah Alias Bon, Sungai Manong di Niah telah dipindahkan ke Hotel Emart Riam di Miri.

Operasi pemindahan penduduk tersebut yang merupakan kontak rapat kes positif Covid-19 berjalan lancar semalam.

Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (Ukas), pemindahan terpaksa dilakukan setelah kes positif di rumah panjang tersebut semakin membimbangkan.


“Justeru, langkah memindahkan kesemua penduduk di rumah itu yang merupakan kontak rapat kepada pesakit positif Covid-19 merupakan langkah mengekang penularan wabak di kalangan penduduk rumah panjang tersebut,” kata Ukas.

Operasi pemindahan telah mendapat bantuan daripada agensi seperti Pejabat Daerah Subis, Pejabat Kesihatan Miri, Polis Gerakan Am (PGA), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) Niah.

Ia melibatkan tiga buah bas, dua lori PGA dan satu kenderaan Bomba.

Sebelum ini Rumah Alias Bon telah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) selama 14 hari bermula 22 April hingga 5 Mei 2021 dan dilanjutkan selepas mendapati masih ramai dijangkiti positif Covid-19. — DayakDaily