24,184 akaun EFS dibuka bagi tempoh Januari–November 2022 – Fatimah

Fatimah (dua dari kanan) menyampaikan EFS dan BIB kepada salah seorang penerima semasa lawatan ke Hospital Umum Sarawak.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 4 Jan: Pada tahun 2022 bermula Januari hingga November, sebanyak 24,814 anak Sarawak telah membuka akaun Endowment Fund Sarawak (EFS).

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak Dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, ia melibatkan peruntukan sebanyak RM24.8 juta.


“Inilah yang dilakukan oleh kerajaan Sarawak dimana hasil yang diperolehi Negeri diberikan semula kepada rakyat.

“Salah satu caranya ialah menerusi EFS,” katanya pada sidang media semasa lawatan ke wad bersalin Hospital Umum Sarawak (HUS) di sini, hari ini.

Tambah Fatimah, semenjak pelaksanaan EFS bermula tahun 2019 sehingga Disember 2021, sebanyak 81,926 akaun EFS telah dibuka.

Katanya, ia melibatkan peruntukan sebanyak RM81.9 juta.

EFS merupakan antara inisiatif kerajaan Negeri Sarawak dengan pemberian sebanyak RM1,000 dalam bentuk simpanan amanah kepada setiap kelahiran anak Sarawak bermula pada tahun 2019, tanpa mengira bangsa, agama atau status sosio-ekonomi.

Ia bertujuan untuk membantu anak-anak Sarawak sebagai persediaan bagi melanjutkan pelajaran ke pengajian tinggi, memulakan karier atau sebagai modal kecil perniagaan.

Manakala bagi Bantuan Ibu Bersalin (BIB), Fatimah berkata ia telah memanfaat seramai 38,000 ibu sejak diperkenalkan mulai tahun 2020 sehingga November 2022.

“Setiap ibu telah mendapat bantuan sebanyak RM450 dengan (jumlah) peruntukan sebanyak RM17.46 juta.

“Tahun ini kita akan meneruskan bantuan kepada ibu bersalin kerana geran telah diluluskan oleh kerajaan Negeri,” ujar Fatimah. — DayakDaily