206 projek dilaksanakan di DUN Batu Kitang dalam tempoh 5 tahun

Lo (tengah) berbincang dengan pegawai daripada Jabatan Kerja Raya semasa lawatan ke tapak projek di Landeh hari ini (30 Nov 2021).

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 30 Nov: Sebanyak 206 projek infrastruktur telah dilaksanakan di kawasan perumahan dan kampung di Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Kitang sepanjang tempoh lima tahun ini.

Menurut penyandang DUN Batu Kitang Lo Khere Chiang, ia dilaksanakan menerusi peruntukan projek Transformasi Luar Bandar (RTP) oleh kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dengan jumlah RM5 juta setahun.


Katanya, 90 peratus daripada jumlah keseluruhan peruntukan RTP yang berjumlah RM25 juta untuk lima tahun digunakan untuk membangunkan kawasan-kawasan di Batu Kitang.

“Tiap-tiap hari kita melaksanakan projek. Dalam lima tahun ini saya telah membelanjakan RM25 juta melalui peruntukan RTP di kawasan-kawasan Batu Kitang.

“Sehingga ke hari ini, saya telah melaksanakan sebanyak 206 projek yang melibatkan projek besar dan kecil.

“Kita membina dewan, padang bola sepak, parit, jalan dan kemudahan lain demi manfaat rakyat,” katanya ketika ditemui pada lawatan ke tapak projek Pusat Komuniti di Taman Indah Landeh hari ini.

Tambah Lo yang juga Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan (MPP), dalam tempoh lima tahun itu juga sebanyak 800 tiang elektrik telah didirikan di kawasan Batu Kitang.

Justeru, beliau berharap rakyat dapat menikmati usaha yang telah dilakukan oleh kerajaan GPS selama ini.

“Saya berpuas hati dan gembira dengan pencapaian dalam tempoh lima tahun ini. Kita telah membawa banyak pembangunan di kawasan Batu Kitang,” ujar Lo.

Pusat Komuniti di Taman Indah Landeh yang dibina dengan peruntukan RTP berjumlah RM200,000 dijangka siap dalam tempoh enam bulan.

Siap kelak, pusat komuniti itu bakal menyediakan kemudahan tadika yang dinanti-nantikan oleh para ibu bapa di sekitar Landeh selama ini. — DayakDaily