3,188 tangkapan berkaitan dadah bagi tempoh Januari hingga Mac 2023

Fatimah (empat dari kiri) menyerahkan sumbangan kepada Mohamad Azman.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 19 April: Bagi tempoh 1 Januari sehingga 31 Mac 2023, Polis Diraja Malaysia kontinjen Sarawak telah merekodkan 3,188 tangkapan berkaitan dadah, kata Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak Dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah.

Katanya, dari jumlah tersebut, 172 tangkapan melibatkan kesalahan membekal dadah.


“Manakala sebanyak 734 tangkapan pula direkodkan bagi kesalahan memiliki dadah dan substans dan 2282 bagi kesalahan positif urin.

“Nilai rampasan dadah sepanjang bulan Januari hingga Mac 2023, dianggarkan sebanyak RM7,617,135,” kata Fatimah.

Beliau berkata demikian di Sesi Ziarah Sumbangsih Raya di Ibu Pejabat Kontinjen Polis Sarawak di sini hari ini.

Pada majlis itu, Fatimah telah mengagihkan sumbangan kepada warga polis yang diterima oleh Pesuruhjaya Polis Kontinjen Sarawak Dato Mohamad Azman Ahmad Sapri.

Sumbangan yang sama juga diagihkan kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat, Markas 1 Divisyen Infantri Malaysia, Jabatan Pengangkutan Jalan, Jabatan Penjara Malaysia, Jabatan Sukarelawan Malaysia dan Jabatan Imigresen Malaysia. – DayakDaily