2,000 peminat muzik menghadiri Konsert Seiring Dan Sejalan 2018

Persembahan lagu era 40an ketika Konsert Seiring Dan Sejalan 2018 anjuran Institut Pendidikan Guru Kampus Tun Abdul Razak (IPGTAR), Kota Samarahan dan Majlis Seni Sarawak (MSS) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Lama, Petra Jaya.

KUCHING, Okt 1: Konsert Seiring Dan Sejalan 2018 anjuran Institut Pendidikan Guru Kampus Tun Abdul Razak (IPGTAR), Kota Samarahan dan Majlis Seni Sarawak (MSS) telah menarik sekitar 2,000 penonton di Dewan Undangan Negeri (DUN) Lama, Petra Jaya, di sini, malam Sabtu.

Konsert tersebut yang dipersembahkan guru pelatih, alumni dan kakitangan IPGTAR dan MSS bermula jam 8 malam dengan menampilkan persembahan lagu Latin dan ‘twist’ yang popular era 40an dan 50an iaitu ‘Getaran Jiwa’, ‘Hati Muda’, ‘Perhaps Perhaps Perhaps’, ‘Azizah’, ‘Blue Suede Shoes’ dan ‘Darah Muda’.

Seterusnya lagu pop yeh yeh era 60an iaitu ‘Selamat Tinggal Pujaan’, ‘Oh Fatimah’, ‘Irama Desa Seberang’, ‘Kenanganku’ dan ‘Medley 60an’ diikutti lagu disko, pop, rock era 70an dan 80an termasuklah ‘Ati Beraie Setegal Janji’, ‘Winner Takes All’, ‘Tragedy’, ‘Yeu Ling Dai Biao Wo De Xin’, ‘Ku Gembira Disampingmu’, ‘Kamelia’, ‘Antara Matamu dan Mataku’, ‘Isabella’ dan berakhir dengan lagu ‘Seiring dan Sejalan’.

Persembahan terbabit telah diiringi 22 pemuzik orkestra gabungan IPGTAR dan MSS yang disepadukan dengan sketsa muzikal dan tarian dari guru pelatih institut terbabit yang dilatih tenaga pakar MSS, kakitangan institut itu dan tenaga luar.

Tetamu kehormat konsert terbabit ialah Menteri Muda Hal Ehwal Koperat, Abdullah Saidol yang mewakili Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg manakala tetamu kehormat lain ialah bekas Timbalan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang dan isterinya Tan Sri Empiang Jabu.

Antara artis tempatan turut menyertai persembahan konsert itu ialah Fiza Sani, Richmond Allan Morshidi dan
Nurhijrah Yahya dengan gubahan muzik konsert disediakan konduktor konsert, Abdul Lattif Poli dari IPGTAR dan Saidful Hamdan dari MSS.

Objektif konsert terbabit adalah bagi meningkatkan kemahiran seni muzik, tari dan lakonan dalam kalangan pelajar dan kakitangan IPGTAR dan MSS melalui persembahan muzik era 40an sehingga 80an. — DayakDaily