KUCHING, 12 Ogos: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sarawak sudah menempah sebanyak 2,000 botol air minuman dari pembekal sebagai persiapan menghadapi kemarau akibat musim panas kering yang sudah melanda negeri ini.
Pemangku Pengarah JKM Sarawak, Mohamad Guntor Rajaee berkata demikian dengan setiap botol itu berisi air minuman enam liter dan pihaknya akan memberikan sebanyak empat botol air minuman itu kepada setiap penerima seminggu di kawasan yang terputus bekalan air akibat kemarau.
“Dalam masa yang sama, kita sudah meminta semua pegawai (JKM) bahagian untuk berhubung dengan pembekal air (botol) kita supaya bersedia, kerana tiap tahun kita memang buat (persiapan kemarau) macam itu,” katanya selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Kementerian Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak (KWKPK) 2019 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching, di sini, hari ini.
Mohamad Guntor berkata pihaknya sudah mula menghantar bekalan botol minuman yang ditempah itu ke semua 17 pangkalan hadapan di seluruh di negeri ini kecuali di depo jabatan di Jalan Dato Mohd Musa, Kota Samarahan.
“Mungkin esok atau lusa pembekal akan hantar (bekalan) air minuman dalam botol enam liter itu ke depo terbabit,” katanya.
Beliau berkata, ketika ini pihaknya memfokuskan atas penghantaran bekalan botol air minuman itu ke pengkalan hadapan di bahagian Miri dahulu kerana kebiasaanya lebih dahulu menghadapi kemarau dan terputus bekalan air.
Sementara itu, Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata pihaknya akan mengenalpasti kawasan terjejas teruk oleh kemarau bagi menghantar bekalan air minuman botol.
Selain itu, beliau menjelaskan JKM tidak lagi membekalkan air minuman mengunakan botol 1.5 liter tetapi mengunakan botol enam liter kepada penduduk terputus bekalan air tahun ini.
“Seorang dapat 24 botol plastik (air minuman 1.5 liter). Kalau rumah panjang, katalah ada 24 orang penghuni, jadi berapa botol plastik yang menjadi bahan buangan dan kita ambil kira hal ini,” katanya. — DayakDaily