200 usahawan ikuti Program KECEKAPAN-RISE

Nancy (empat dari kanan) secara simbolik menyampaikan surat tawaran program kepada salah seorang peserta.
Advertisement

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 27 Ogos: Seramai 200 usahawan Sarawak yang terdiri daripada kumpulan B40, ibu tunggal dan OKU dipilih mengikuti Program KECEKAPAN-RISE (Reaching Intellect Through Social And Education).

Program tersebut adalah kerjasama Yayasan Kebajikan Negara (YKN) Malaysia dan UK-Malaysia KECEKAPAN Konsortium.

Advertisement

Menurut Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat Dato Sri Nancy Shukri, modul pembelajaran ini memberi tumpuan kepada aspek pendidikan keusahawanan.

“Ia melibatkan pembelajaran asas keusahawanan, literasi kewangan, inovasi dan kreativiti, pemasaran dan media sosial.

“Pengetahuan ini amat diperlukan untuk membantu peserta berjaya dalam perniagaan yang berdaya saing seiring dengan teknologi digital,” kata Nancy.

Beliau berkata demikian di sidang media selesai Majlis Tandatangan Nota Kerjasama YKN Malaysia dan UK-Malaysia KECEKAPAN Konsortium di sini, hari ini.

Nancy (dua dari kanan) pada sidang media di Kuching.

Tambah Nancy merangkap Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YKN, program bagi Sarawak ini merupakan projek rintis yang mensasarkan seramai 500 orang peserta yang mana kos kursus bagi seorang peserta bernilai RM4,000, manakala kos keseluruhan berjumlah RM2 juta bagi negeri Sarawak dan mendapat tajaan daripada British Council.

Katanya, program dijalankan melalui kursus secara dalam talian selama 12 minggu bermula September 2024 sehingga Disember 2024.

Modul kursus dibangunkan oleh UK-Malaysia KECEKAPAN Konsortium dan dilaksanakan dalam tiga pilihan Bahasa iaitu Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris dan Bahasa Isyarat.

“Peserta yang telah berjaya menamatkan kursus ini selama 12 minggu akan memperolehi sijil penyertaan yang diiktiraf oleh UK-Malaysia KECEKAPAN Konsortium,” ujar Nancy.

UK-Malaysia KECEKAPAN Konsortium terdiri daripada University of Glasgow, University of Aberdeen, Liverpool John Moores University, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Malaya (UM) dan Universiti Sains Malaysia (USM). — DayakDaily

Advertisement