20 pekerja Ladang Sepakau 3, Sungai Asap hilang tempat tinggal dalam kejadian hangus

Dua blok kediaman pekerja ladang Sepakau 3 hangus dijilat api.

KUCHING, Sept 15: Dua puluh pekerja ladang hilang tempat tinggal setelah rumah mereka hangus dijilat api dalam kejadian sekitar pagi tadi.

Kejadian melibatkan dua blok rumah pekerja Ladang Sepakau 3, Sungai Asap di Bintulu yang hangus 100 peratus.

Anggota bomba memadamkan sisa-sisa api.

Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak memaklumkan menerima panggilan kecemasan pada jam 10.36 pagi.

Balai Bomba dan Penyelamat Bintulu yang bergegas ke lokasi dan tiba pada jam 1.21 tengahari telah menggunakan sumber air terbuka untuk memadamkan kebakaran tersebut.

Kesemua mangsa dilaporkan selamat dan tiada mengalami sebarang kecederaan. — DayakDaily