2 laluan bas ekspres baharu hubungkan Kuching-Pontianak dalam pertimbangan – Lee

Lee (empat dari kanan) menyampaikan cenderahati kepada Raden pada kunjungan hormat itu.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 20 Sept: Dua laluan darat baharu bagi perkhidmatan bas ekspres menghubungkan Kuching dan Pontianak di Kalimantan kini dalam pertimbangan.

Menteri Pengangkutan Dato Sri Lee Kim Shin berkata, ia merupakan cadangan daripada pihak Konsulat Jenderal Republik Indonesia di Kuching Raden Sigit Witjaksono.


Katanya, laluan pertama adalah melibatkan Kuching ke Singkawang menerusi Pos Kawalan Biawak.

Manakala laluan kedua ialah dari Kuching-Lubok Antu-(menerusi pos kawalan Badau) Putussibau-Pontianak.

“Raden telah memberi kerjasama erat bagaimana kita boleh meningkatkan lagi sistem perhubungan rentas sempadan.

“Kta telah berbincang dan akan melawat ke sempadan bersama Raden untuk melihat kemudahan yang diperlukan di sempadan,” katanya pada sidang media di Kuching hari ini.

Terdahulu Lee menerima kunjungan hormat Raden serta rombongan di pejabat beliau di Bangunan Baitulmakmur di sini.

Dalam pada itu, Lee memaklumkan bahawa dua syarikat bas ekspres iaitu Biaramas dan Damri akan menyediakan servis setiap hari bagi laluan Kuching-Pontianak mulai 1 Oktober depan.

Dari mesyuarat kata Lee, terdapat permintaan tinggi bahawa kedua-dua syarikat menyediakan servis ke laluan yang sama setiap hari.

“Sambutan bagi servis bas ekspres adalah sangat mengalakan daripada kedua-dua pihak.

“Kita harap ia akan memberi manfaat kepada penduduk di Kalimantan dan Sarawak.

“Pengangkutan darat ini penting dalam kita memastikan perdagangan rentas sempadan ditingkatkan, ” ujar Lee. — DayakDaily