KUCHING, 18 Mei: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Miri telah menahan sebuah bot nelayan Vietnam dan sebuah bot nelayan tempatan atas pelbagai kesalahan dengan jumlah keseluruhan tangkapan bernilai RM500,000.
Pengarah Zon Maritim Miri, Kapten Maritim Md Fauzi Othman berkata, tangkapan pertama dilakukan terhadap bot nelayan asing Vietnam pada jam lebih kurang 8.30 pagi di kedudukan 32 batu nautika dari Kuala Niah.
“Menyedari kehadiran aset Maritim Malaysia, bot tersebut melepaskan peralatan menangkap ikan sebagai cubaan untuk melupuskan bahan bukti dan telah mencuba melarikan diri dari diperiksa oleh pihak penguatkuasa.
“Aset Maritim mengambil masa hampir 50 minit mengejar serta memintas tersebut dan berjaya diberhentikan setelah dihimpit rapat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Md Fauzi, pemeriksaan lanjut mendapati bot tersebut tidak mendapat kebenaran dari Pengarah Perikanan Malaysia untuk melakukan aktiviti menangkap ikan.
Manakala kesemua enam kru berserta tekong, lelaki warga Vietnam, berumur dalam lingkungan 29 hingga 45 tahun gagal mengemukakan sebarang dokumen perkenalan diri ketika diperiksa.
Tangkapan kedua pula melibatkan bot nelayan tempatan pada jam lebih kurang 10 pagi pada jarak 38 batu nautika dari Kuala Niah.
Ketika diperiksa, ujar Md Fauzi, bot tersebut didapati memiliki lesen pendaftaran bot yang sah namun telah mengemukakan surat kebenaran menggunakan kru warga asing yang telah tamat tempoh.
“Bot tersebut dikendalikan oleh seorang tekong dan enam kru, lelaki warganegara Vietnam yang berumur dalam lingkungan 20 hingga 62 tahun.
“Pemeriksaan terhadap kru bot tersebut mendapati hanya dua daripada kru mempunyai passport negara Vietnam yang sah manakala selebihnya tidak memiliki passport dan hanya memiliki kad pas lawatan untuk bekerja sementara yang telah tamat tempoh,” katanya.
Tangkapan melibatkan dua buah bot serta diesel lebih kurang 8,000 liter dan juga 500kg ikan pelbagai jenis, dan bot-bot tersebut diiring ke Pusat Tahanan Vesel Kampung Pulau Melayu, Miri untuk siasatan lanjut.
Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63. — DayakDaily