19.2 peratus sekolah daif telah siap dibaik pulih — Manyin

Manyin pada ucapan penggulungan Kementerian Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi di persidangan DUN.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, Nov 12: Sebanyak 19.2 peratus dari jumlah 1,020 sekolah daif di negeri ini telah dibaik pulih mengunakan peruntukan dari kerajaan pusat setakat ini.

Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi (MESTR) Datuk Seri Michael Manyin Jawong berkata ia melibatkan kerja baik pulih 153 buah sekolah.

Katanya, ia sebagai tambahan kepada 43 buah sekolah yang telah dibaik pulih atau dibina semula dalam Rancangan Malaysia Ke-11.

“Pada tahun 2016, sejumlah 20 sekolah daif telah dibaik pulih dengan peruntukan RM69.714 juta dan 30 buah sekolah lagi dibaik pulih pada tahun 2017 dengan peruntukan RM92.68 juta.

“Sejumlah RM416.576 juta juga diperuntukkan untuk kerja baik pulih 116 sekolah pada tahun 2018.

“Untuk 2019, kerajaan Pakatan Harapan (PH) memperuntukkan RM100 juta untuk kerja baik pulih 32 sekolah yang dijangka siap pada awal 2020,” katanya.

Beliau berkata demikian pada ucapan penggulungan kementeriannya di persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

Berhubung bayaran RM350 juta daripada RM1 bilion hutang kepada kerajaan pusat, Manyin berkata jumlah itu digunakan untuk kerja baik pulih atau bina semula 37 buah sekolah.

Katanya, kerja untuk kesemua 37 buah sekolah tersebut di tender bermula Ogos sehingga penghujung Disember ini.

“Bayaran kedua dan ketiga dengan jumlah RM350 juta dan RM300 juta dijadualkan pada Januari dan Jun 2020,” tambah beliau.

Pada sidang media selepas ucapan penggulungan, Manyin berkata bayaran pertama dengan jumlah RM350 juta membantu membaik pulih 33.3 peratus sekolah daif.

“Kita gembira dengan perlaksanaan kerja baik pulih atau bina semula sekolah daif ini dan berharap dapat mencapai 60 peratus pada tahun depan,” tegas beliau. — DayakDaily