18 pekerja hilang tempat tinggal, rumah pekerja didiami musnah terbakar

Anggota bomba memadam kebakaran melibatkan rumah pekerja sawit yang musnah terbakar.
Advertisement

LIMBANG, Jun 10: Seramai 18 pekerja ladang kelapa sawit Utahol di sini hilang tempat tinggal selepas rumah pekerja yang didiami mereka musnah terbakar hari ini.

Kejadian kira-kira pukul 12.30 tengah hari itu mengakibatkan enam pintu rumah pekerja di situ terbakar 100 peratus.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Limbang, Tawang Lingem berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 12.32 tengah hari.

Advertisement

Jelasnya, sepasukan lapan anggota bomba kemudian bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan kerja-kerja memadam kebakaran.

“Apabila tiba di lokasi kejadian, pasukan bomba mendapati api sedang marak membakar rumah pekerja terbabit.

“Anggota bomba kemudian bertindak memadamkan kebakaran menggunakan air daripada jentera dan juga air terbuka yang jaraknya kira-kira 300 kaki,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tawang menambah, berdasarkan maklumat awal daripada salah seorang penghuni rumah, terdapat aktiviti memasak sebelum berlaku kebakaran di situ.

Katanya, para penghuni kemudian bertindak menggunakan tujuh unit alat pemadam api, namun gagal kerana api sudah marak.

“Punca sebenar kebakaran masih dalam siasatan,.

“Operasi memadam kebakaran tamat sepenuhnya pada pukul 2.50 petang,” katanya lagi. — DayakDaily

Advertisement