KUCHING, 12 Dis: Sebanyak 161 unit Rumah Spektra Permata (RSP) akan dibina di bawah Skim Pembesaran Kampung (SPK) Baru Spaoh, Betong.
Projek ini adalah projek peruntukan Kerajaan Sarawak di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).
RSP Kg Baru Spaoh adalah projek jalinan kerjasama diantara Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC) Sarawak dengan Jabatan Tanah dan Survei (JTS).
Ketua Pegawai Eksekutif HDC, Mohamad Asman Ahmad berkata, HDC akan membina rumah RSP di atas lot-lot Skim Pembesaran Kampung Baru Spaoh, yang dibangunkan oleh JTS.
“Projek ini akan memberi manfaat kepada penduduk setempat terutamanya golongan berpendapatan rendah (B40) dan golongan berpendapatan pertengahan (M40) untuk memiliki rumah kediaman.
“Nilai projek berdasarkan skop pembangunan projek adalah RM61,965,000,” katanya dalam satu kenyataan semalam (11 Dis).
Skop pembangunan projek melibatkan kerja-kerja penembokan tanah ke atas 161 lot serta kerja-kerja menaik taraf sistem infrastruktur asas kepada sistem infrastruktur berspesifikasi penuh iaitu dari sistem jalan batuan (‘gravel road’) kepada jalan beturap (‘tar-sealed road’) dan sistem perparitan tanah (‘earth drain’) kepada perparitan konkrit (‘concrete drain’).
Skop pembangunan juga termasuk kerja-kerja pembinaan 161 unit RSP yang akan dijalankan secara berperingkat.
Jelas Mohamad Asman, cadangan jenis rumah ialah rumah bertiang berkeluasan 750 kaki persegi dengan 3 bilik tidur, 2 bilik air, 1 ruang tamu, 1 ruang makan dan 1 ruang dapur.
Cadangan harga jualan rumah pula adalah di antara RM90,000 ke RM120,000 seunit yang akan diumumkan kelak, tidak termasuk premium tanah JTS sebanyak RM2,500 satu lot.
Pembiayaan perumahan akan disediakan oleh Mutiara Mortgage & Credit Sdn Bhd, anak syarikat HDC, kepada peserta yang layak dengan kadar pinjaman serendah 1 peratus.
Beliau menambah, kerja-kerja fizikal penembokan tanah 161 lot kini 100 peratus siap.
Sementara itu, kerja-kerja menaik taraf sistem infrastruktur asas sedia ada kepada sistem infrastruktur berspesifikasi penuh dan kerja-kerja pembinaan rumah dijangka bermula pada suku pertama tahun 2022. — DayakDaily