16 Pati termasuk kanak-kanak diusir balik ke negara asal

Pati yang diusir balik ke negara asal mereka.

KUCHING, 14 Nov: Seramai 16 pendatang asing tanpa izin (Pati), termasuk seorang kanak-kanak berusia 6 tahun diusir keluar selepas ditangkap cuba masuk secara haram ke Sarawak semalam.

Markas Divisyen Pertama Infantri dalam siaran medianya berkata kesemua Pati terbabit ditahan di kawasan ladang sawit di Biawak, Lundu oleh anggota Tentera Darat yang melakukan operasi Op Benteng sekitar jam 3.30 petang.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati kesemua mereka tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan yang sah.


“Kesemua 16 individu terbabit terdiri daripada 11 lelaki yang berusia antara 19 hingga 45 tahun dan empat wanita berusia di antara 21 hingga 39 tahun bersama seorang kanak-kanak lelaki berusia 6 tahun merupakan Pati kerana tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan yang sah.

“Mereka menyatakan tujuan masuk adalah untuk mencari pekerjaan di Sarawak,” katanya.

Pati terbabit kemudian diusir balik ke negara asal mereka dan laporan polis berhubung kejadian telah dibuat di Balai Polis Lundu.

“Kejayaan ini membuktikan bahawa anggota-anggota yang bertugas di persempadanan Sarawak–Kalimantan Barat terus kekal siaga dan komited mengawal keselamatan dan memastikan kedaulatan negara.

“Pasukan kita akan terus memastikan tiada sebarang pencerobohan Pati mahupun sebarang bentuk jenayah rentas sempadan berlaku yang berisiko menyumbang kepada penularan wabak Covid-19,” katanya. — DayakDaily