1,500 pelajar Saratok terima sumbangan kelengkapan sekolah

Ali Biju (file photo)

KUCHING, 9 Mac: Seramai 1,500 pelajar daripada 27 buah sekolah di kawasan Parlimen Saratok telah menerima sumbangan kelengkapan sekolah menerusi program Ceria Ke Sekolah.

Menurut MP Saratok Datuk Ali Biju, ia diadakan dengan kerjasama Tenaga Nasional Berhad.

“Program telah mengenalpasti keluarga yang kurang berkemampuan yang akan menerima sumbangan kelengkapan sekolah untuk sesi persekolahan 2021.


“Sumbangan berupa peralatan persekolahan kepada pelajar daripada kalangan keluarga yang kurang berkemampuan,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Tambah Ali yang juga ADUN Krian, penyediaan kelengkapan persekolahan ini merangkumi pakaian seragam sekolah, kasut, stokin dan beg sekolah.

Katanya, objektif utama program ini adalah bagi mengurangkan beban golongan yang memerlukan dalam membuat persediaan untuk membolehkan anak-anak mereka meneruskan sesi persekolahan 2021.

“Sumbangan ini memberi fokus kepada keluarga miskin yang mempunyai tanggungan yang ramai serta kurang berkemampuan untuk menyediakan ‘uniform’ dan kelengkapan persekolahan untuk anak-anak mereka,” ujar beliau.

Menurut Ali lagi, pengagihan ini akan dilaksanakan secara berperingkat melalui beberapa fasa.

“Semoga semua anak-anak ini dapat bersekolah dengan selesa dan bersemangat, walaupun di dalam keadaan pandemik Covid-19 ini,” katanya. — DayakDaily