15 paket serbuk jus buah-buahan mengandungi serbuk dadah ekstasi dirampas di Kuching

Gambar komposit menunjukkan dadah dan kereta suspek yang dirampas untuk siasatan lanjut.

KUCHING, 27 Julai: Seorang lelaki tempatan ditangkap disyaki miliki dadah jenis serbuk ekstasi bernilai RM11,250 semalam.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah berkata suspek berusia 23 tahun terbabit ditangkap dalam satu serbuan di sebuah kondominium di Stutong oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Kuching sekitar jam 2.20 petang.

Katanya, suspek ditangkap apabila pasukan operasi menemui dadah tersebut disembunyikan di dalam 15 paket serbuk jus buah-buahan.


“Hasil pemeriksaan di dalam rumah suspek menjumpai lapan paket plastik bergambar buah oren, enam paket begambar manggo dan satu paket bergambar buah betik yang didalamnya masing-masing mengandungi dadah jenis serbuk ekstasi.

“Kesemua dadah yang ditemui dianggarkan seberat 398.18 gram dengan harga RM11,250,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Jelasnya, saringan awal air kencing suspek juga mendapati dia positif dadah jenis amphetamine.

Suspek kemudian ditahan dan dadah yang dirampas juga dibawa ke IPD Kuching untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Pasukan operasi turut menyita sebuah kereta jenis Perodua Myvi milik suspek untuk siasatan lanjut.

“Kita mengalu-alukan maklumat orang awam berkaitan aktiviti penyalahgunaan dadah,” katanya. — DayakDaily