15 loji rawatan air, termasuk 7 di Sri Aman pada tahap amaran

Kelihatan paras air di sebuah loji rawatan dalam paras kritikal.
Advertisement

KUCHING, SEPTEMBER 22: Sejumlah 15 loji rawatan air termasuk 7 di Bahagian Sri Aman berada di tahap amaran ekoran musim cuaca kering dan panas yang masih berterusan di seluruh negeri Sarawak. 

Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Sarawak menerusi kenyataan media hari ini berkata paras air mentah sungai Undop di Loji Rawatan Air Bayai di Sri Aman naik ke paras 2.9m, namun masih berada di tahap amaran walaupun berlaku hujan semalam.

Lima pusat pengumpulan air berpusat terus beroperasi di Sri Aman dan  JBALB Bahagian akan menambah lagi beberapa pusat pengumpulan air yang baharu.

Advertisement

Manakala bagi Bahagian Betong, akibat Loji Rawatan Air Lichok terus berada pada tahap amaran.  JBALB telah membuka 2 pusat pengumpulan air berpusat.

Kedua-dua pusat pengumpulan air ialah di Kampung Darat Kabong (Berhadapan Masjid As-Sabirin) dan di Dewan Pasar Kabong (Berhadapan SJK(C) Chung Hua Kabong).

“Di Daerah Tatau, JBALB Bahagian Bintulu hari ini melakukan penghantaran air bersih ke 14 rumah panjang bermula dari Balai Bomba Tatau ke Rumah Sipok di sepanjang Jalan Bintulu-Tatau.

“Bekalan air ke kawasan tersebut terjejas ekoran keadaan Loji Rawatan Air Tatau yang berada pada paras amaran.

“Bagi loji-loji lain yang berada pada paras amaran, pihak JBALB bahagian telah menghantar bekalan air menggunakan tanker ke kawasan-kawasan yang terjejas,” menurut JBALB Sarawak. 

Loji lain yang berada di tahap amaran adalah Loji Rawatan air Lundu (Kuching), Sebangan (Samarahan), BalaiRingin (Serian), Pantu (Sri Aman), Stumbin/Seduku (Sri Aman), Lingga (Sri Aman), Skrang (Sri Aman), Skim Pembangunan Lemanak (Sri Aman), Engkelili (Sri Aman), Selalang (Sarikei), Penibong (Mukah) dan Kampung Tian (Mukah) .

Namun demikian,  JBALB Sarawak memaklumkan kepada para pengguna agar tidak perlu risau, panik dan khuatir kerana agensi sentiasa bersiap siaga dalam menghadapi sebarang kemungkinan krisis yang berlaku.

Justeru itu, JBALB juga memohon kepada para pengguna yang berada di kawasan pada tahap amaran untuk menggunakan air secara berhemah dan berjimat cermat sepanjang musim cuaca panas dan kering ini.

Segala makluman terkini akan sentiasa dikemaskini kepada pengguna melalui laman rasmi Facebook JBALB Sarawak.

Sebarang aduan dan pertanyaan boleh menghubungi Bilik Gerakan Bencana Ibu Pejabat JBALB Sarawak di talian 082-263078. — DayakDaily

Advertisement