Oleh Dean Adam
SERIAN, Ogos 28: Seramai 13,270 daripada 19,429 bayi yang dilahirkan di negeri ini setakat ini telah didaftarkan di bawah inisiatif Endowment Fund Sarawak (EFS).
Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, Datuk Seri Fatimah Abdullah, berkata bayi-bayi yang didaftarkan itu akan menerima RM1,000 yang didepositkan ke dalam akaun bank atas nama bayi tersebut.
Katanya, mana-mana ibu bapa yang belum mendaftar kelahiran anak mereka di bawah EFS digalakkan berbuat demikian bagi manfaat anak masing-masing apabila berusia 18 tahun kelak.
“Apabila bayi yang didaftarkan itu genap berusia 18 tahun, duit RM1,000 tersebut boleh dikeluarkan untuk mereka menyambung pelajaran,” katanya semasa Majlis Penangguhan Till Jannah yang bertemakan “Smart Marriage” dan Pelancaran Hand Book Family Warrior di Dewan Masyarakat Serian, hari ini.
Fatimah menambah, bagi bahagian Serian misalnya, hanya 256 orang bayi yang sudah didaftarkan oleh ibu bapa mereka di bawah EFS.
Beliau berharap ketua masyarakat dan ketua kaum membantu memaklumkan kepada anak-anak buah mereka yang melahirkan bayi tahun ini untuk mendaftar dengan EFS.
“Inisiatif EFS ini telah diumumkan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Abang Tun Openg pada awal tahun ini.
“Ia adalah khusus untuk membantu meringankan beban ibu bapa membiayai kos anak melanjutkan pelajaran apabila penerimanya berusia 18 tahun,” katanya. — DayakDaily