130 orang pekerja kilang papan tinggal sehelai sepinggang, rumah didiami terbakar

Pasukan bomba sedang berusaha memadam kebakaran.

Oleh Dean Adam

BINTULU, Jun 13: Seramai 130 orang pekerja kilang papan tinggal sehelai sepinggang selepas rumah pekerja yang didiami mereka di Jalan Bintulu-Tatau musnah terbakar awal pagi tadi.

Bagaimanapun, dalam kejadian kira-kira pukul 2.40 pagi itu, tiada laporan kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan berlaku.


Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, kebakaran tersebut telah memusnahkan tiga blok rumah pekerja di situ.

Jelasnya, kesemua 100 pintu rumah pekerja di tiga blok kediaman berkenaan telah terbakar 100 peratus.

“Punca kebakaran dan anggaran jumlah kerugian masih dalam proses siasatan,” katanya di sini hari ini.

Kesan kebakaran melibatkan tiga blok rumah pekerja kilang papan.

Jurucakap sama menambah, sebelum itu pihak bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran berkenaan pada pukul 2.42 pagi.

Katanya, sepasukan 10 anggota bomba bersama dua jentera pemadam kemudian diarahkan ke lokasi kejadian untuk melakukan operasi memadam.

“Setibanya di lokasi kejadian, komander operasi melaporkan terdapat kebakaran rumah pekerja kilang jenis struktur tidak kekal.

“Operasi memadam kebakaran itu tamat sepenuhnya pada pukul 3.57 pagi,” katanya. — DayakDaily