13 kaki sabung ayam ditangkap dan dikompaun di Serian

Kelihatan pasukan operasi semasa melakukan serbuan.

SERIAN, 29 Jun: Seramai 13 lelaki leka sabung ayam ditangkap apabila tidak sempat melarikan diri dalam satu serbuan di tanah lapang Jalan Tamba No.1, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Serian DSP Aswandy Anis berkata kesemua suspek merupakan warga tempatan berusia dalam lingkungan 30 hingga 63 tahun.

Jelasnya, serbuan dilakukan sekitar jam 5 petang dengan operasi diketuai ASP Murad Jemari.


“Di dapati sekumpulan lelaki berkumpul disyaki melakukan aktiviti sabung ayam dan bila mengetahui kehadiran polis, kumpulan lelaki tersebut bertempiaran lari.

“Pihak polis berjaya menangkap dan menahan 13 orang lelaki tempatan yang berusia 30 hingga 63 tahun,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Kesemua suspek dibawa balik ke Balai Polis Serian. Kes disiasat di bawah Seksyen 3(1) LLPPB 1952.

“Disamping itu, kesemua suspek dikenakan kompaun kerana melakukan kesalahan di bawah Peraturan 17(1) PPPPB (PKP) (No.3) kerana berkumpul di tempat awam dan tiada penjarakan sosial.

“Suspek dikompaun sebanyak RM1,500 seorang,” katanya. — DayakDaily