12 perhentian perkhidmatan bas sekolah percuma dikenalpasti di kawasan MBKS


Chris Bishop

KUCHING, FEB 25: Sebanyak 12 perhentian sudah dikenalpasti di kawasan MBKS sebagai laluan perkhidmatan bas sekolah percuma yang dijadual bermula April ini.

Datuk Bandar MBKS Datuk Wee Hong Seng berkata kesemua perhentian itu nanti akan dibina agar boleh menampung sekitar 30 or 40 murid sekolah.


“Perhentian bas awam yang sedia ada tidak mampu menampung jumlah murid yang ramai ini.

“Maka, pihak kita telah mencadang kepada ketua menteri untuk menambahbaik kemudahan ini.

“Kita (MBKS) akan menggunakan kontena terpakai sepanjang 20 kaki yang diubahsuai bersesuaian dengan keperluan selain boleh memberi kemudahan kepada 30 atau 40 murid sekolah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media setelah mempengerusikan Mesyuarat Penuh MBKS di Bangunan MBKS hari ini.

Tambah Wee, kontena itu nanti akan menjadi sebuah perhentian bergerak dimana ia boleh dipindahkan ke mana mana lokasi jika laluan perkhidmatan bas telah ditukar.

Katanya lagi, sebuah model perhentian (kontena) akan diletakkan di kawasan Sekolah Rendah Chung Hua No.3 pada Mac ini.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg baru-baru ini telah mengumumkan bahawa perkhidmatan bas percuma akan bermula pada April ini.

Perkhidmatan bas percuma itu telah diumumkan Abang Johari ketika membentangkan cadangan Belanjawan 2020 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) November 2019 yang lepas.

Menurut Abang Johari, ia adalah untuk meringankan beban yang dihadapi keluarga berpendapatan rendah di kawasan bandar disebabkan kos pengangkutan untuk ke sekolah.

Mengulas isu lain, Wee memaklumkan bahawa MBKS akan menguatkuasakan larangan penggunaan penyedut minuman plastik di semua pusat penjaja makanan di bawah seliaannya bermula April ini. — DayakDaily