11 sekeluarga tinggal sehelai sepinggang, rumah teres musnah terbakar

Anggota bomba berusaha melakukan kerja-kerja pemadaman api.

KUCHING, Jan 20: Malang menimpa 11 sekeluarga apabila kediaman mereka di Taman Sukma di sini musnah terbakar, awal pagi ini.

Bagaimanapun, dalam kejadian kira-kira pukul 2.50 pagi itu, tiada laporan kemalangan jiwa dilaporkan berlaku.

Namun, terdapat tiga penghuni kediaman tersebut dikatakan mengalami kesesakan nafas akibat kejadian itu.

Penolong Pengarah Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 2.52 pagi.

Katanya, seramai 10 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Petra Jaya kemudian dikerahkan ke lokasi kejadian untuk melakukan kerja-kerja pemadaman kebakaran.


“Turut ke lokasi ialah lapan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Batu Lintang sebagai pasukan bantuan.

“Komander operasi tersebut ialah Ketua Balai Bomba Petra Jaya, Muhammad Mirza Dzalmira Miraj. Turut berada di lokasi ialah Komander operasi kanan, Tan Min Chai,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Anggota bomba melakukan kerja-kerja pemadaman api di dalam kediaman tersebut.

Mengulas lanjut, Tiong memberitahu, sebaik tiba di tempat kejadian, pasukan bomba mendapati api sedang marak membakar kediaman berkenaan.

Jelasnya, anggota bomba kemudian melakukan kerja-kerja pemadaman api bagi mengelak daripada kebakaran merebak ke rumah sebelah.

“Operasi memadam kebakaran tamat dan terkawal sepenuhnya pada pukul 4.37 pagi.

“Buat masa ini, kami masih menyiasat punca kebakaran dan jumlah kerugian akibat insiden itu,” katanya lagi. — DayakDaily