11 kematian, 1,075 kes baharu Covid-19 dilaporkan

Filepix

PUTRAJAYA, 3 Dis: Sebanyak 11 kes kematian akibat Covid-19 dilaporkan hari ini di seluruh negara menjadikan kumulatif kes kematian akibat pandemik itu terus meningkat kepada 376 kes atau 0.54 peratus daripada jumlah keseluruhan kes yang dilaporkan setakat ini.

Jumlah tersebut kedua tertinggi dilaporkan sehingga kini selepas jumlah tertinggi dengan 12 kematian dilaporkan pada 3 November lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah kes kematian tersebut Selangor mencatatkan jumlah kematian tertinggi dengan lima kematian, Johor (2), Sabah (2), dan Kelantan dan Negeri Sembilan masing-masing melaporkan satu kes kematian.


“Daripada jumlah tersebut, 10 kes melibatkan warga emas berusia antara 64 hingga 81 tahun manakala kes kematian-375 merupakan wanita berusia 50 tahun.

“Sepuluh daripada kes ini juga mempunyai sejarah penyakit darah tinggi, dislipidemia, obesiti, gout, penyakit kencing manis, demensia, penyakit kemurungan dan strok, sementara satu lagi kes dilaporkan tidak mempunyai sejarah penyakit kronik,” katanya pada sidang media harian Covid-19 di sini hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, 1,075 kes baru yang dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia sebanyak 69,095 dengan kebolehjangkitan Covid-19 pula adalah 10,802 kes.

Daripada jumlah tersebut, tiga kes merupakan kes import yang dikesan mendapat jangkitan dari luar negara manakala 1,072 merupakan kes penularan dalam negara.

“Negeri-negeri di Lembah Klang melaporkan jumlah kes harian sebanyak 508 kes (47.3 peratus). Daripada jumlah ini, negeri Selangor melaporkan sebanyak 459 kes (90.4 peratus). Jumlah pelaporan kes harian kedua tertinggi pula dicatatkan oleh negeri Sabah iaitu sebanyak 310 kes (28.8 peratus) dan diikuti dengan negeri Johor sebanyak 78 kes (7.3 peratus).

“Sebanyak 48 kes (4.5 peratus) yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster-kluster di penjara yang membabitkan Kluster Penjara Jalan Harapan (41 kes), Kluster Tembok (3 kes), Kluster Matambai (3 kes) dan Kluster Bakti (1 kes),” katanya.

Tambah Dr Noor Hisham, sebanyak 948 kes sembuh turut dilaporkan hari ini, menjadikan kumulatif kes sembuh sepenuhnya daripada Covid-19 meningkat kepada 57,917 kes atau 83.8 peratus daripada jumlah keseluruhan kes yang dilaporkan di seluruh negara.

“Sehingga kini, terdapat 116 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana 46 kes memerlukan bantuan pernafasan,” tambah beliau. — DayakDaily