109 anggota polis diarah menjalani saringan selepas dua suspek kes gaduh Green Road positif Covid-19

Datuk Aidi Ismail

KUCHING, 17 Feb: Seramai 109 pegawai dan anggota polis diarahkan menjalani saringan Covid-19 hari ini.

Difahamkan arahan tersebut adalah susulan daripada dua suspek yang ditahan di lokap polis sejak Isnin lalu disahkan positih Covid-19.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Aidi Ismail semasa dihubungi mengesahkan perkara tersebut.


“Seramai 10 pegawai dan 99 anggota polis sedang ambil ujian swab oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya.

Beliau memberitahu kesemua mereka adalah terdiri daripada anggota dari Balai Polis Gita, Tabuan Jaya dan Sekama.

“Pagi ini, KKM telah datang ke tiga buah balai polis (Gita, Sekama dan Tabuan Jaya) dan semua kontak rapat termasuk dari pihak polis iaitu anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), pengiring, penjaga lokap akan diswab dan diarahkan kuarantin,” katanya.

Sementara bercakap mengenai dua suspek yang positif, Aidi memberitahu mereka adalah antara sembilan yang ditangkap pada Isnin (15 Feb) lalu dan saringan Covid-19 dijalankan ke atas kesemua mereka.

Menurutnya, suspek ditangkap kerana terlibat kes pergaduhan membabitkan dua kumpulan di hadapan Chonglin Plaza di Green Road pada Ahad (14 Feb) lalu.

“Kedua-dua suspek yang positif telah diambil oleh KKM untuk tindakan lanjut,” kata Aidi. — DayakDaily