1,000 unit rumah mampu milik dibina di penempatan baharu Kg Segedup dan Sg Maong

Abang Johari ketika ditemui di Kuching.
Advertisement

KUCHING, 21 Mac: Hampir 1,000 unit rumah mampu milik bakal dibina di kawasan penempatan baharu yang akan dibuka di Kampung Segedup dan Sungai Maong di sini.

Memetik laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, dua tapak tanah telah dikenal pasti untuk dibangunkan penempatan baharu tersebut.

Katanya, pembinaan penempatan tersebut akan bermula sebaik sahaja jalan yang menghubungkan Kampung Segedup dan Sungai Maong siap sepenuhnya nanti.

Advertisement

“Projek yang agak besar di Kampung Segedup dan Sungai Maong di mana kita sedang membina jalan raya yang akan menghubungi Sungai Maong menerusi satu jambatan yang juga akan menghubung Jalan Tan Sri Sulaiman Daud.

“Dengan adanya jalan ini, kita telah mengenal pasti dua tapak tanah untuk kita membangunkan penempatan di mana kita akan membangunkan rumah mampu milik dengan reka bentuk yang baharu,” katanya ketika ditemui selesai majlis penyerahan Geran MRP Ketua Menteri di Pusat Khidmat DUN N8 Satok semalam.

Pada majlis itu, sebanyak lapan persatuan menerima geran MRP berkenaan berjumlah keseluruhan RM1.152 juta.

Terdahulu, Abang Johari pada sidang media berkata kawasan Satok sedang mengalami transformasi pesat dengan pelbagai projek infrastruktur sedang rancak dilaksanakan.

Antaranya projek yang sedang dilaksanakan adalah menaik taraf Jambatan Bintangor serta tebingan sungai yang diletakkan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

“Ini antara projek-projek yang kita laksanakan di kawasan Satok. Mudah-mudahan ia dilaksanakan dengan baik dalam tempoh dua tiga tahun ini agar kawasan ini terus maju.

“Lebih-lebih lagi dekat muara Jalan Datuk (Ajibah Abol) akan menjadi pusat ART (Autonomous Rapid Transit) kita dan Hikmah Exchange juga tidak lama lagi akan siap,” katanya. — DayakDaily

Advertisement