1,000 hadiri Majlis Bacaan Doa Akhir dan Awal Tahun Hijrah Peringkat Negeri Sarawak di Sebuyau

Julaihi (depan, empat kanan) dan para jemaah mengaminkan bacaan Doa Akhir Tahun 1443 Hijrah dan Doa Awal Tahun 1444 Hijrah. Turut kelihatan adalah Dr Abdul Rahman (depan tiga kanan). Foto: Jabatan Penerangan Sarawak

KUCHING, 30 Julai: Seramai 1,000 umat Islam sekitar Sebuyau telah menyertai majlis Bacaan Doa Akhir Tahun 1443 Hijrah dan Awal Tahun 1444 Hijrah sempena sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Sarawak di Masjid Baharu Daerah Sebuyau, pada malam Khamis lepas.

Majlis dimulakan dengan bacaan doa akhir tahun 1443 Hijrah dan doa awal tahun 1444 Hijrah yang dipimpin oleh Imam Besar Negeri Sarawak Sahibul Fadilah Dato Mustapha Kamal Ahmad Fauzi.

Mustapha kemudiannya mengimamkan solat Maghrib dan Isyak berjemaah, selain memimpin bacaan surah Yassin bersama-sama dengan jemaah.

Selain itu, itu majlis turut diselitkan dengan takzirah dengan tajuk ‘Keluarga Malaysia Pemangkin Kemakmuran’ yang disampaikan oleh Timbalan Dekan (Penyelidikan Inovasi) Fakulti Pengajian Islam, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr Sarip Adul.

Antara tetamu-tetamu kehormat yang hadir adalah Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Julaihi Narawi mewakili Premier Sarawak, Timbalan Menteri Utiliti dan Komunikasi II Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi dan Yang di-Pertua Majlis Islam Sarawak Datu Misnu Taha.— DayakDaily