100 kampung dalam DUN Balai Ringin disenarai dalam GKCDA

Snowdan (barisan depan, empat dari kanan) bersama Adun yang lain di Makmal GKCDA 2030 di Kuching.

KUCHING, 27 Feb: Kabinet Sarawak telah bersetuju untuk menyenaraikan sebahagian daripada kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Balai Ringin di dalam Greater Kuching Coordinated Development Agency (GKCDA).

Menurut Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan yang juga Ahli DUN (Adun) Balai Ringin Datuk Snowdan Lawan, terdapat lebih 100 buah kampung berada di dalam Bahagian Serian.

“Di dalam DUN Balai Ringin, 60 peratus kawasan berada di dalam pentadbiran Bahagian Sri Aman manakala 40 peratus dalam Bahagian Serian.

“Saya telah berbincang dengan Premier Sarawak dan beliau berkata memanglah 100 buah kampung ini termasuk dalam GKCDA.

“Perkara ini juga telah dipersetujui di dalam mesyuarat Kabinet Sarawak,” kata Snowdan di satu sidang media di sini, hari ini.

Terdahulu beliau menghadiri makmal Strategi GKCDA 2030.

Tambah Snowdan, persetujuan Kabinet itu merupakan berita gembira untuk penduduk di 100 buah kampung itu setelah kawasan mereka tercicir daripada senarai GKCDA terdahulu.

“Inilah satu daripada cara kita boleh membangunkan kawasan bersama,” kata Snowdan. — DayakDaily