100 individu positif Covid-19 melarikan diri di Bintulu menyerah diri

Dr Melvin Chung

KUCHING, 27 April: Semua 100 individu positif Covid-19 di Bintulu yang melarikan diri sebelum ini telah menyerah diri semalam.

Pegawai Kesihatan Bahagian Bintulu Dr Melvin Chung berkata, kesemua mereka telah menghubungi dan menyerah diri kepada Pejabat Kesihatan Bahagian Bintulu.

“Pesakit-pesakit itu telah berhubung sendiri dengan pihak Pejabat Kesihatan Bintulu untuk menyerah diri.


“Mereka juga bersetuju mendapat rawatan di Hospital Bintulu,” katanya dalam laporan Unit Komunikasi Awam Khas (UKAS) hari ini.

Tambah Dr Melvin, kesemua mereka berjaya dikesan dengan bantuan pihak polis.

Semalam, Dr Melvin telah mengadakan sidang media di Pejabat Residen Bahagian Bintulu untuk memaklumkan perkara tersebut.

Terdahulu pada Ahad, MP Bintulu Datuk Sri Tiong King Sing dalam laman sosial Facebook-nya telah mendedahkan 100 individu positif Covid-19 di Bintulu di antara 12 April dan 21 April lalu tidak dapat dikesan atau dihubungi kerana memberikan maklumat peribadi palsu. — DayakDaily