1 dari 8 lelaki berusia 45 ke atas di Sarawak berisiko menghidap kanser prostat

Orang ramai melihat poster Kempen Kesedaran Prostat di pusat beli belah Vivacity Megamall.

KUCHING, April 7: Dianggarkan ketika ini seorang dari lapan lelaki yang berusia 45 tahun di Sarawak keatas adalah berisiko menghidap kanser prostat.

Pegawai Perubatan Hospital Umum Sarawak (HUS), Dr Loo U-Phun mendedahkan anggaran tersebut. Beliau berkata ramai yang dikesan menghidap kanser itu kemudian akan mendapatkan rawatan di HUS.

“Secara umumnya, seorang dari lapan lelaki yang berusia 45 tahun dan keatas (di Sarawak) adalah berisiko mendapat kanser prostat. Saya tidak tahu statistik sebenarnya (pesakit kanser prostat di Sarawak) tetapi kami biasanya merawat sehingga seramai 150 orang pesakit terbabit setiap minggu di HUS dan ini tidak termasuk yang mendapatkan rawatan di hospital swasta,” katanya ketika ditemui semasa Kempen Kesedaran Prostat dianjurkan Jabatan Urologi HUS dan Yayasan Urologi Malaysia (MUF) di pusat beli belah Vivacity Megamall, di sini, hari ini.

Sekitar 100 orang awam mengunjungi kempen tersebut pada Sabtu lepas dan jumlah pengunjung sama dijangka hari ini dengan pengunjung yang dikesan ada tanda menghidap kanser semasa kempen itu akan menjalani ujian pemeriksaan lanjutan di HUS pada April 20 depan.

Dr Loo berkata berikutan bertambahnya pesakit kanser itu, HUS telah menetapkan satu hari khas setiap minggu bagi merawat pesakit kanser prostat terbabit dari tahap awal atau belum merebak ke anggota badan lain pesakit sehingga ke tahap serius atau kanser sudah merebak ke anggota badan lain pesakit.

Beliau berkata tanda utama bagi seseorang lelaki menghidap kanser itu ialah mereka akan kerap kencing ketika waktu malam, aliran air kencing yang lemah dan air kencing dirasakan tidak habis keluar semuanya selepas kencing.

Dr Loo (berdiri kiri) melihat kakitangan HUS melayan pertanyaan orang ramai mengenai kanser prostat di kempen kesedaran kanser itu di pusat beli belah Vivacity Megamall.

“Kanser ini juga tidak memilih pesakitnya, dan boleh dihidapi mereka yang sudah berkahwin ataupun masih bujang dan penting bagi mengesannya awal supaya dapat diberikan rawatan ketika kanser masih tahap awal,” katanya.

Menurutnya pesakit boleh mendapatkan rawatan di HUS ataupun dengan hospital swasta dengan kos rawatan kanser itu boleh mencecah RM10,000 bagi tahap serius di hospital swasta. Kosnya akan lebih rendah sekiranya dirawat ketika tahap awal.

“Sehubungan itu, saya menasihatkan lelaki berusia 45 tahun keatas di Sarawak supaya tidak merokok, tidak mengambil minuman keras dan mengamalkan gaya hidup sihat bagi mengelakkan risiko menghidapi kanser ini serta sekiranya menghadapi ada masalah berkaitan kencing untuk segera mendapatkan rawatan,” katanya.

Menurut Dr Loo, ini kerana kelenjar prostat lelaki akan terus membesar mengikut peningkatan usia dan ada peratusan kecil menghidap kanser prostat. — DayakDaily