Zon penampan diwujudkan bagi kekang penularan wabak rabies

File pics - dayakdaily.com

KUCHING – Kerajaan negeri menerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) akan mewujudkan satu zon penampan atau ‘buffer zone’ di antara Sarikei dan Sri Aman dalam usaha mengekang penularan wabak rabies ke kawasan lain di negeri ini.

Keputusan tersebut dicapai menerusi Mesyuarat Penyelarasan JPBNS yang berlangsung di Wisma Bapa Malaysia di sini hari ini.

Sekretariat JPBNS dalam satu kenyataan akhbar memberitahu, dalam zon penampan itu, pihak Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak (JPVS) akan melakukan survelan termasuk mengambil sampel anjing untuk ujian makmal di semua kawasan bandar
bagi menentukan status sesebuah tempat tersebut.

“Pihak berkuasa tempatan juga telah mengambil tindakan untuk memastikan tiada anjing liar berkeliaran di
kawasan seliaan mereka.

“Begitu juga dengan JPVS turut akan melakukan operasi pemvaksinan secara besar-besaran dan
terancang dari masa ke semasa melalui media masa,” kata JPBNS dalam satu kenyataan akhbar hari ini.

JPBNS dalam kenyataan sama memberitahu, buat masa ini stok simpanan vaksin anti-rabies adalah mencukupi.

Malah, hari ini sahaja, sebanyak 300 ekor anjing telah divaksin dalam program pelalian wabak rabies bertempat di Persatuan Pencegahan Kekejaman Terhadap Haiwan Sarawak (SSPCA) di Kota Sentosa.

“Ini menjadikan jumlah haiwan peliharaan yang telah divaksin setakat ini adalah 18,144 ekor iaitu terdiri daripada 10,504 ekor anjing, 7,595 ekor kucing dan 45 ekor haiwan lain,” kata JPBNS lagi.

Sementara itu, Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) memaklumkan bahawa secara kumulatif dari 2 Julai hingga 26 Julai ini sebanyak 490 kes gigitan baru telah dikesan.

Antara kawasan tersebut ialah di Serian 31 kes gigitan dan Kuching 57 kes gigitan dilaporkan pada hari ini.

“Tiada kes gigitan baru dilaporkan dari Sri Aman pada hari ini. Ini menjadikan bilangan kes kumulatif gigitan anjing yang berlaku semenjak 1 April lalu hingga ke hari ini berjumlah 963
kes,” kata JPBNS.

Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Datuk Amar Dr. James Jemut Masing berkata, simptom jangkitan virus rabies dipercayai hanya dapat dikesan antara tiga minggu hingga tiga bulan selepas seseorang individu digigit oleh anjing.

Sehubungan itu jelasnya, mana-mana individu yang mempunyai sejarah digigit anjing perlu segera mendapatkan rawatan dan menerima suntikan vaksin bagi mengelak sebarang perkara tidak diingini berlaku.

“Selain itu, anjing-anjing liar yang berkeliaran perlu ditangkap oleh pihak berkuasa tempatan untuk diberi suntikan vaksin anti-rabies.

“Ini kerana kerajaan negeri amat mengutamakan keselamatan manusia daripada haiwan,” katanya. – dayakdaily.com