Warga emas ditemui selamat setelah sesat di dalam hutan

Lau Hie Ming yang hilang dihutan ditemui dalam keadaan selamat pagi ini.- JBPNS

SIBU: Selepas semalam hilang di hutan seorang warga emas perempuan ditemui dalam keadaan selamat pagi ini.

Lau Hie Ming,70-an,tidak mengalami sebarang kecederaan, cuma dalam keadaan letih dan tidak bermaya.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak Tiong Ling Hii berkata,mangsa hilang di hutan di Jalan Deshon Timur, Sibu, pagi semalam selepas masuk ke kawasan hutan berdekatan untuk mencari sayur.

“Kita menerima panggilan berhubung kejadian ini pada jam 7.19 malam tadi.

“Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Merah dianggotai seramai 10 anggota diketuai oleh PKPgB Alimat Sam melancarkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) sebaik menerima panggilan berhubung kejadian itu,” katanya di sini hari ini.

Katanya, agensi bantuan lain yang terlibat ialah pihak polis dengan seramai 10 anggota menggunakan seekor anjing pengesan.

“Mangsa telah berjaya dijumpai kira-kira 300 meter dari lokasi mangsa dipercayai hilang pada jam 9.29 pagi,” katanya.

Katanya, mangsa telah diserahkan kepada pasukan paramedik Kementerian Kesihatan Malaysia(KKM) untuk tujuan pemeriksaan awal dan dihantar ke hospital Sibu untuk mendapat rawatan. – dayakdaily.com