Wanita warga emas mati ditembak selepas disangka seekor monyet

BINTULU – Seorang wanita warga emas menemui ajal akibat terkena tembakan yang dilepaskan oleh ipar lelakinya selepas dia disangkakan seekor monyet dalam satu kejadian di kawasan kebun berhampiran Rumah Panjang Mathew, Sungai Sarau di Sebauh petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4.30 petang itu, mangsa, Bermau Baguk, 70, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat terkena tembakan pada anggota badannya.

Menurut sumber, sebelum kejadian, lelaki berusia 59 tahun tersebut dikatakan sedang memburu haiwan liar di sekitar kawasan kebun yang terletak berhampiran dengan rumah panjang di situ.

Kata sumber, sebaik tiba di tempat kejadian, lelaki yang sedang memburu seorang diri itu dikatakan tiba-tiba melihat kawasan semak di situ bergoyang.

“Dia yang menyangka ada pergerakan monyet di situ kemudian melepaskan satu das tembakan menggunakan selaras senapang patah ke arah kawasan semak berkenaan.

“Bagaimanapun, sebaik melepaskan tembakan itu, dia segera berlari ke kawasan semak tersebut sebelum dia terkejut melihat mangsa dalam keadaan terbaring dan berlumuran darah.

“Panik melihat mangsa yang sudah tidak bernyawa lagi, lelaki terbabit kemudian bergegas pulang ke rumah panjang untuk memaklumkan kejadian itu,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bintulu, ACP Zailanni Amit mengesahkan menerima laporan kes tersebut.

Jelasnya, pihak polis sudah menahan suspek dan merampas senapang patah yang dipercayai digunakan untuk tindakan lanjut.

“Berdasarkan rakaman keterangan daripada suspek, dia mengaku senapang patah yang digunakan adalah milik bapanya.

“Setakat ini, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 304 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian,” katanya. – dayakdaily.com