Wabak rabies ragut nyawa mangsa keempat di Sarawak

Mangsa keempat akibat jangkitan virus rabies itu mempunyai sejarah gigitan anjing pada 27 Mei lalu di Kampung Saroban iaitu terletak dalam 10 kilometer radius dari kampung di mana kes ketiga rabies berlaku sebelum ini. - dayakdaily.com

KUCHING – Seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun menjadi mangsa ketiga yang meninggal dunia akibat jangkitan virus rabies atau penyakit anjing gila di Sarawak, hari ini.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) dalam satu kenyataan berkata, kanak-kanak malang itu disahkan meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Umum Sarawak (HUS) di sini
pada pukul 2.05 petang.

Mangsa keempat akibat jangkitan virus rabies itu mempunyai sejarah gigitan anjing pada 27 Mei lalu di Kampung Saroban iaitu terletak dalam 10 kilometer (km) radius dari kampung di mana kes ketiga rabies berlaku sebelum ini.

“Mayat kanak-kanak malang itu akan dibawa ke Kampung Ampungan, Serian untuk urusan pengebumian,” kata JPBNS dalam satu kenyataan akhbar di sini hari ini.

JPBNS menambah, sebanyak 97 kes gigitan baru telah dikesan yang berlaku dari 2 hingga 17 Julai lalu di mana 24 kes merupakan kes gigitan yang berlaku pada hari ini.

Ini menjadikan bilangan kes kumulatif gigitan anjing yang berlaku dari 1 April hingga ke hari ini sejumlah 368 kes.

Seramai 251 orang juga telah datang untuk
menerima vaksin dan mohon mereka yang telah digigit anjing dalam kawasan terlibat untuk tampil dengan kadar segera bagi mendapatkan pemeriksaan dan vaksin.

“Sehingga hari ini pihak Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak (JPVS) telah memvaksinkan 7,655 ekor haiwan kesayangan yang terdiri daripada 2,205 ekor anjing, 5,424 kucing dan 26 haiwan lain.

“Daripada jumlah tersebut, sebanyak
545 ekor anjing dan 1,174 ekor kucing telah divaksinasi dalam program pemvaksinasi anjing dan kucing untuk penduduk bandar Serian kelmarin,” kata kenyataan itu.

Operasi bersepadu yang dikendalikan oleh Kementerian Kerajaan Tempatan
dan Perumahan Sarawak bersama JPVS setakat ini telah menangkap 73 ekor
anjing terbiar di sekitar Serian.

JPVS juga telah mengadakan sebanyak
69 kempen kesedaran mengenai wabak penyakit Rabies di kawasan terlibat yang dihadiri oleh 4,952 orang penduduk kampung dan pelajar sekolah.

JPVS akan meneruskan aktiviti-aktiviti pemvaksinan, survalen, kempen kesedaran dan penyiasatan kes-kes yang dilapor berkaitan wabak penyakit rabies di kawasan terlibat di Bahagian Serian.

JPVS memohon kerjasama daripada semua pihak yang mana haiwan mereka telah divaksinasi untuk mengurung dan memerhati tingkahlaku haiwan masing-masing.

Sekiranya terdapat perubahan sikap dari jinak ke ganas, menggigit sebarang benda
yang bergerak, takut air dan cahaya, menyendiri, air liur berlebihan, gelisah dan agresif sila buat laporan ke Bilik Gerakan JPVS di talian 082-612949/611607. – dayakdaily.com