Wabak rabies ragut nyawa ketiga

KUCHING – Wabak virus rabies atau penyakit anjing gila meragut nyawa mangsa ketiga di negeri ini hari ini.

Kes kematian akibat jangkitan virus rabies itu melibatkan seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun dari Kampung Lebor, Serian dekat sini.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) dalam satu kenyataan berkata, kanak-kanak malang itu disahkan meninggal dunia pada pukul 2.16 petang.

Menurut kenyataan sama, setakat ini terdapat empat kes atau mangsa disahkan positif dijangkiti virus rabies Serian, dimana tiga kes telah meninggal dunia dan satu kes iaitu kes keempat sedang kritikal dan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Umum Sarawak (HUS) di sini.

“Bagaimanapun, berdasarkan pemantauan setakat ini tiada kes baru melibatkan jangkitan virus rabies dilaporkan,” kata JPBNS dalam satu kenyataan akhbar hari ini.

Dalam kenyataan sama, JPBNS memberitahu, aktiviti pengesanan kes secara aktif sedang giat dilakukan dan telah berjaya mengesan sebanyak 236 kes gigitan anjing dalam radius 10 kilometer (km) dari kawasan wabak di Serian.

Jelas kenyataan itu, semua kes gigitan anjing di Kampung Lebor, Paon Rimu Bakong dan Seroban yang layak menerima vaksin telah diberi vaksin.

“Secara keseluruhan seramai 188 kes telah diberi vaksin. Pasukan kesihatan juga sedang berusaha mengesan kes-kes yang belum mendapatkan suntikan vaksin.

“Kita juga merekodkan terdapat 42 kes gigitan anjing yang baru iaitu berlaku dari 2 hingga 13 Julai dimana 14 kes berlaku di zon merah dan 28 kes di zon kuning,” kata JPBNS.

Terkini, Kerajaan negeri Sarawak telah mengisytiharkan tujuh kawasan di daerah Serian sebagai kawasan wabak penyakit rabies.

Kawasan kawasan tersebut adalah:-

1. Kpg. Paon Rimu
2. Kpg. Paon Rimu Bakung
3. Kpg. Remun
4. Kpg. Lebor
5. Kpg. Krait
6. Kpg. Saroban
7. Kpg. Tangga ( yang baru diisytihar hari ini) – dayakdaily.com