Wabak Rabies : Operasi pemvaksinan besar-besaran pada Sabtu ini

Timbalan Ketua Menteri merangkap Pengerusi JPBNS, Datuk Amar Douglas Uggah Embas meninjau operasi yang dilakukan di Bilik Operasi di Wisma Bapa Malaysia - dayakdaily.com

KUCHING – Satu operasi pemvaksinan bagi haiwan peliharaan akan dilakukan secara besar-besaran bertempat di Padang Bola Keranjang Jalan Arang di sini pada Sabtu, 29 Julai ini.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) berkata, orang ramai boleh membawa haiwan peliharaan seperti anjing datang untuk mendapatkan suntikan vaksin vanti-rabies mulai pukul 10 pagi hingga 4.00 petang.

“JPBNS berharap orang ramai yang tinggal dalam lingkungan 10 kilometer radius dari kawasan wabak iaitu Pasar Basah Sungai Maong boleh datang membawa haiwan peliharaan masing-masing untuk mendapatkan suntikan anti-rabies,” kata JPBNS dalam satu kenyataan hari ini.

JPBNS dalam kenyataan sama memberitahu, Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) telah merekodkan sebanyak 56 kes gigitan anjing baru dikesan di tiga bahagian yang terjejas dengan wabak rabies.

Daripada kesemua kes gigitan anjing itu kata JPBNS, 38 kes direkodkan di Kuching, Kota Samarahan (14 kes), manakala Sri Aman (2 kes).

“Jumlah terbaru yang dikesan itu menjadikan kes kumulatif gigitan anjing yang dilaporkan sejak 1 April lalu hingga hari ini adalah sebanyak 1,016 kes.

“Daripada 56 kes gigitan itu, seramai 41 kes gigitan telah diberi suntikan vaksin anti-rabies bagi dos pertama,” ujar JPBNS lagi.

Selain itu JPBNS memaklumkan, berdasarkan data dari klinik gigitan anjing di Hospital Umum Sarawak dan di Hospital Serian, seramai 583 individu telah datang untuk menerima suntikan vaksin.

JPBNS memberitahu, JKNS juga mewujudkan empat klinik gigitan nnjing iaitu di Hospital Umum Sarawak, Hospital Serian, Klinik Kesihatan Sentosa dan Klinik Kesihatan Sri Aman bagi memberi perkhidmatan pengurusan kes gigitan anjing bagi individu yang tinggal berdekatan.

“Manakala, bagi kes gigitan anjing yang berlaku di luar kawasan empat klinik itu, mereka dinasihati untuk pergi ke klinik kesihatan atau hospital yang terdekat untuk mendapatkan rawatan.

“JKNS juga memohon mana-mana individu yang mempunyai sejarah gigitan anjing dalam tempoh 1 April lalu sehingga sekarang untuk membuat pemeriksaan segera,” kata JPBNS lagi. – dayakdaily.com