Wabak rabies: 87 kes gigitan anjing baru dikesan

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) memberitahu, kes keenam tersebut melibatkan seorang kanak-kanak lelaki yang berusia tujuh tahun dan berasal dari Kampung Kuala, Gedong dekat sini. - file pic

KUCHING – Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) merekodkan sebanyak 87 kes gigitan anjing baru dilaporkan berlaku di empat bahagian di negeri hari ini.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) berkata, kes-kes tersebut dilaporkan di bahagian Serian iaitu melibatkan sebanyak 63 kes gigitan, Sri Aman (4 kes gigitan), Kuching (19 kes gigitan) dan Samarahan (1 kes gigitan)

Menurut JPBNS, jumlah terbaharu kes gigitan anjing tersebut menjadikan bilangan kes kumulatif yang berlaku sejak 1 April lalu hingga 1 Ogos adalah berjumlah 1,342 kes.

“Setakat ini, seramai 749 individu di kawasan terjejas penyakit anjing gila itu telah menerima suntikan vaksin anti-rabies.

Secara keseluruhannya, operasi pemvaksinan telah dilakukan ke atas 129 ekor anjing yang menjadikan jumlah haiwan peliharaan yang telah divaksin setakat ini sebanyak 23,995
ekor yang terdiri daripada 16,355 ekor anjing, 7,595 ekor kucing dan 45 ekor haiwan lain,” kata JPBNS dalam satu kenyataan akhbar hari ini.

Dalam pada itu, JPBNS juga memberitahu, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak (JPVS) telah mengadakan 142 kempen kesedaran mengenai wabak penyakit rabies di kawasan-kawasan terjejas.

Kata JPBNS, meskipun setakat ini masih terdapat 22 buah kawasan yang diisytiharkan wabak rabies, namun ia masih lagi dalam keadaan terkawal.

“0perasi pemvaksinan anti-rabies kepada anjing masih giat dijalankan bagi mengekang penularan wabak penyakit anjing gila itu,” kata JPBNS lagi.

Setakat ini, terdapat 22 buah kawasan yang masih diisytiharkan sebagai kawasan wabak rabies iaitu Kampung Krait, Kampung Paon Rimu, Kampung Paon Rimu Bakung, Kampung Remun, Kampung Lebor, Kampung Saroban, Kampung Tangga dan Kampung Ampungan.

Kawasan lain ialah, Kampung Mentong Berawan, Kampung Mentong Silaga, Kampung Engkabang, Kampung Tampek Sumpas, Kampung Rasau, Pekan Siburan, Bandar Serian, Batu 45, Kuching-Sri Aman, Kampung Temong Mura, Rh. Janta Punggu Mawang, Kampung Entubuh, Batu 5, Jalan Semeba, Pasar Basah Sungai Maong dan Kampung Serikin, Bau.- dayakdaily.com