Wabak rabies: 31 kes gigitan baharu direkodkan

Operasi pemvaksian anti-rabies yang dilakukan di Kota Sentosa baru-baru ini. - dayakdaily.com

KUCHING – Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) hari ini merekodkan sebanyak 31 kes gigitan anjing baharu dicatatkan di empat bahagian yang terjejas dengan wabak rabies atau penyakit anjing gila.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) berkata, daripada kesemua kes gigitan anjing itu, lapan kes direkodkan di Serian, Sri Aman (2), Kuching (19) dan Kota Samarahan (2).

Menurut JPBNS, daripada jumlah tersebut, 22 kes melibatkan haiwan peliharaan iaitu anjing 12 kes, kucing (10), manakala, sembilan kes pula melibatkan haiwan liar atau tidak bertuan, iaitu, anjing (5) dan kucing (4).

“Jumlah terbaharu yang direkodkan hari ini
menjadikan bilangan kes kumulatif gigitan haiwan yang berlaku sejak 1 April lalu hingga kini adalah berjumlah 2,824 kes.

“Secara kumulatif juga seramai 1,037 orang telah menerima suntikan vaksin anti-rabies,” katanya dalam satu kenyataan akhbar hari ini.

Sementara itu, JPBNS memberitahu, bukan semua kes gigitan anjing atau haiwan peliharaan lain memerlukan suntikan vaksin anti-rabies.

Jelas JPBNS, setiap kes gigitan akan dinilai secara klinikal oleh pakar perubatan sebelum ditentukan samada vaksin diperlukan atau sebaliknya.

“Namun, JKNS tetap memohon orang ramai yang mempunyai sejarah gigitan anjing dalam tempoh 1 April lalu hingga kini untuk segera
membuat pemeriksaan di mana-mana fasiliti kesihatan yang terdekat.

“Pada masa yang sama, orang ramai turut diingatkan untuk sentiasa menghindari diri
dari gigitan haiwan terutamanya anjing,” kata JPBNS lagi.

Dayakdaily.com sebelum ini melaporkan kelima-lima mangsa yang dijangkiti virus rabies telah meninggal dunia.

Manakala, pesakit keenam iaitu kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun dari Kampung Kuala, Gedong sehingga kini dilaporkan masih menerima rawatan di Hospital Umum Sarawak. -dayakdaily.com