Utamakan aspek keselamatan balik kampung sempena Gawai

Jerip(kanan) menyerahkan jaket keselamatan kepada salah seorang penumpang bot ekspres di terminal bot express Sibu. -dayakdaily.com

SIBU:Orang ramai yang menggunakan sungai sebagai pengangkutan untuk balik kampung sempena cuti perayaan Gawai Dayak tidak lama lagi diminta memberi keutamaan terhadap aspek keselamatan termasuk sentiasa memakai jaket keselamatan.

Menteri Muda Pengangkutan Sarawak, Datuk Dr. Jerip Susil berkata, sikap masyarakat sendiri yang mengambil ringan terhadap aspek keselamatan boleh membahayakan nyawa mereka jika sesuatu perkara berlaku.

“Kita akan terus meningkatkan kesedaran mengenai aspek keselamatan semasa menggunakan setiap pengangkutan sungai.

“Mereka perlu tahu langkah keselamatan misalnya tidak membawa lebih had penumpang dan sentiasa menggunakan jaket keselamatan,” katanya selepas mengedarkan jaket keselamatan kepada penumpang-penumpang bot ekspress di program Kempen Keselamatan Sungai bersempena Gawai Dayak 2017, bertempat di terminal penumpang, di sini hari ini.

Katanya, bagi memastikan pemilik bot ekspres mematuhi peraturan operasi penguatkuasaan secara besar-besaran sempena perayaan Hari Gawai Dayak 2017 akan diadakan oleh Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSS) yang turut disertai oleh agensi-agensi penguatkuaan yang lain dalam dua fasa, iaitu Fasa 1 ialah dari 22 Mei sehingga 31 Mei 2017 dan Fasa II ialah dari 5 Jun hingga 11 Jun 2017.

“Operasi ini disertai oleh beberapa agensi dan agensi yang terlibat ialah Jabatan Laut Wilayah Sarawak (JLWS), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) Sarawak, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia Negeri Sarawak (JPAM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kepenggunaan Sarawak (KPDNKK),” katanya.- dayakdaily.com