Umpama tupai, suspek akhirnya jatuh ke tanah jua

Suspek (empat dari kiri) ditahan pihak polis untuk tindakan lanjut.

Brad Rantayy
MIRI, 10 Okt: Sepandai pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah jua, dan perumpamaan itu sangat sesuai dikaitkan dengan penahanan seorang lelaki warga tempatan pada pagi Ahad, selepas dia melarikan tiga buah kenderaan termasuk sebuah motorsikal di sini.
Menurut Ketua Polis Daerah Miri ACP Hakemal Hawari, suspek berusia 21 tahun itu pada awalnya telah ditahan kerana melarikan sebuah kereta jenis Perodua Kancil pada 28 Spetember lalu di sebuah kawasan perumahan Jalan Miri -Bintulu.
“Suspek kemudiannya telah ditahan pada hari yang sama sekitar jam 2.50 petang di Jalan Miri Bypass,” katanya dalam satu kenyataan akhbar.
Walaubagaimanapun, suspek telah diberikan jamin polis setelah disahkan positif Covid-19 pada 6 Oktober dan  dibawa ke pusat kuarantin oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada hari yang sama.

“Namun, beliau telah melarikan diri dari pusat kuarantin pada awal pagi 7 Oktobe dan ketika melarikan diri, suspek telah bertindak mencuri sebuah van jenis Toyota Hiace Window 2.5 milik sebuah gereja di Tudan,” ujar Hakemal.

Van tersebut telah dijumpai ditinggalkan sebuah kawasan di Jalan Bintulu Miri pada sekitar 9.40 malam pada pada 8 Oktober.

“Suspek meninggalkan van tersebut kerana dikejar oleh orang awam yang mengenalpasti van yang telah dilaporkan hilang itu,” jelas Hakemal.


Suspek ini kemudiannya telah mencuri sebuah lagi kereta iaitu jenis Proton Iswara pada 9 Oktober di Kampung Sungai Dalam, Jalan Bintulu-Miri dan kemudian meninggalkannya di kawasan semak berhampiran Batu Niah.

Sebuah motosikal milik seorang pengawal keselamatan juga turut dicuri oleh suspek dalam cubaan untuk melarikan diri selepas meninggalkan Proton Iswara yang dicuri pada awalnya.

Sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah (JSJ) IPD Miri telah berjaya menahan semula suspek pada awal pagi 10 Oktober hasil daripada maklumat yang disalurkan oleh orang awam berkenaan pergerakan suspek.

“Kejayaan tangkapan pada hari ini adalah atas kerjasama orang awam yang sentiasa prihatin ke atas kejadian jenayah semasa,” jelas Hakemal.

Ibu Pejabat Polis Daerah Miri (IPD Miri) juga ingin mengingatkan masyarakat agar sentiasa menjaga harta benda persendirian bagi mengelakkan ianya daripada dicuri oleh individu yang tidak bertanggungjawab serta segera menyalurkan maklumat berkenaan aktiviti jenayah kepada polis untuk tindakan lanjut. — DayakDaily